KUCHING: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam kerana menceroboh perairan Kuching dan Miri di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam tangkapan di Kuching kira-kira jam 10 pagi Sabtu lalu, sebuah bot nelayan Vietnam bersama lapan awak-awak dan tekong ditangkap kira-kira 100 batu nautika dari Tanjong Po.

Pengarah Daerah Maritim Kuching, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah, berkata tangkapan itu menjadikan 29 bot nelayan Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan negeri ini sejak Januari lalu, berbanding hanya 12 bot dari negara itu yang ditahan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, dalam tangkapan itu, tekong serta awak-awak berumur antara 16 dan 45 tahun ditahan bersama hasil tangkapan kira-kira 3,000 kilogram ikan gred A pelbagai jenis dalam operasi yang digerakkan hasil risikan dan maklumat daripada komuniti maritim tempatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda, masing-masing tidak melebihi RM1 juta tiap seorang atau penjara, manakala bot dan peralatan menangkap ikan disita,” katanya pada sidang media di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) di Muara Tebas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot nelayan yang menceroboh ini biasanya menggunakan taktik sama iaitu mengecat bot mereka dengan warna mengikut kehendak pihak berkuasa tempatan, selain memasang bendera Malaysia dan Sarawak.

“Sejak Januari hingga Sabtu lalu, 346 tekong dan awak-awak, semuanya dari Vietnam, ditahan APMM Sarawak dan ini menunjukkan mereka semakin berani menceroboh perairan negeri ini yang kaya dengan ikan berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu di Miri, seramai 22 nelayan Vietnam yang diupah syarikat tempatan ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan 97.6 batu nautika dari pantai Tanjung Lobang, awal pagi, Sabtu lalu.

Pengarah Daerah Maritim Miri, Fauzi Othman berkata, nelayan yang ditahan berusia 21 hingga 39 tahun, bersama dua bot yang digunakan dalam operasi itu, termasuk muatan ikan bernilai RM50,000.

“Ini bukan kali pertama bot milik syarikat tempatan itu yang digunakan nelayan asing ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua bot itu melakukan operasi menangkap ikan dengan kaedah pukat tunda ganding tanpa juragan yang sah, termasuk hanya memiliki Sijil Kapal Boleh Tamat yang sudah luput tarikhnya.

Katanya, syarikat yang mengupah nelayan Vietnam itu ternyata tidak serik dikenakan tindakan, kerana sudah berulang kali bot milik mereka ditahan.